Dec 26, 2010

Hadiah 2011

KESUNTUKAN idea untuk mendapatkan sesuatu yang menarik sebagai hadiah tahun baru kepada insan istimewa? Lupakan kebiasaan sebuah dairi atau dekorasi yang menjemukan.
Menghadiahkan sesuatu yang menepati citarasa pasti memberi lebih makna kepada penerima, apatah lagi jika hadiah itu sesuatu yang memberikan manfaat dan bukan sekadar untuk dikenang.
Bagi mencetuskan kelainan, peralatan IT dan aktiviti luar pasti mengejutkan rakan dan ahli keluarga tersayang. Pilihan cukup bermakna untuk mengisi semangat baru pada awal tahun 2011.

Canon 10-22mm
JIKA si penerima semakin serius di dalam bidang fotografi, tahun baru adalah permulaan yang baik untuk menghadiahkan lensa sudut luas sebagai sokongan.
Berbeza dengan lensa asas dan lensa zum biasa, lensa landskap 10-22mm ini adalah kelengkapan paling bererti bagi yang meminati rakaman gambar pemandangan.
Dengan keluasan sudut rakaman yang luar biasa, lensa berharga kira-kira RM3,000 ini mampu menghasilkan sudut rakaman mengatasi apa yang mampu dilihat oleh mata manusia.
Di dalam satu perhimpunan yang besar misalnya, pengguna tidak perlu mengambil jarak yang jauh untuk memastikan semua orang berada di dalam gambar. Bahkan mengambil gambar sudut-sudut yang sukar pastinya lebih mudah.
Selain kelebihan itu, lensa yang dilengkapi motor USM ini memastikan kerja memfokus dilakukan dengan pantas dan senyap. Ia juga didatangkan dengan keupayaan memfokus secara manual.
Maklumat: www.canon.com.my
Edifier MP15
REKAAN moden dan serba ringkas menjadikan pembesar suara super mini mudah alih ini pilihan yang tepat bagi mereka yang gemarkan muzik.
Dengan kuasa bateri yang boleh dicas semula, MP15 seberat 200 gram ini mampu memainkan lagu-lagu kegemaran di dalam format MP3 dan WMA selama enam jam tanpa henti.
Pada harga RM99, produk kecil dan nipis yang cukup selesa untuk dibawa di dalam beg galas harian ini adalah jawapan untuk muzik di mana-mana sahaja.
Maklumat: www.inter-asia.com.my
MiLi Power Miracle
KEHABISAN bateri pada peralatan penting seperti telefon bimbit dan peralatan media kegemaran semasa berada jauh dari rumah cukup untuk mengundang seribu satu keresahan.
Bagi yang kerap meninggalkan rumah, bekalan bateri tambahan seperti yang ditawarkan oleh MiLi Power Miracle semestinya satu keajaiban.
Sumber tenaga sokongan berkuasa 2,000 mAh (bateri ion litium) pada alat ini menyediakan bantuan kecemasan untuk pelbagai peralatan antaranya Samsung, iPhone, iPod, BlackBerry, LG, HTC, Motorola dan Nokia.
Dengan rekaan yang nipis, ringan dan pilihan warna yang menarik, alat berharga RM125 yang mudah dibawa ke mana-mana ini adalah penyelamat semasa mengikuti perjalanan yang jauh dari keselesaan di rumah.
Maklumat: www.viewnet.com.my


Cree Xlamp
LAMPU tanglung bergas kadang-kala boleh mengundang kebakaran dan keracunan jika tidak diselenggara dengan baik. Teknologi moden kini menyaksikan populariti lampu LED untuk tujuan perkhemahan.
Jenama lampu terkemuka Cree kini memasuki pasaran tempatan melalui lampu tanglung Xlamp yang direka dengan pelbagai fungsi yang praktikal.
Dengan menggunakan empat biji bateri AA, ia memberi kecerahan sehingga 185 lumens dengan sinaran paling terang yang mampu bertahan sehingga 25 jam atau 45 jam pada sinaran pudar terkawal.
Rekacipta Cree pada produk yang dijual pada harga RM148 ini bukan sahaja terbaik untuk menerangi khemah malah pusingan 360 darjah mentolnya boleh menukarkan Xlamp menjadi lampu suluh semudah satu sentuhan.
Maklumat: Eddie 019-2677301
Salomon XA Pro 3D Ultra
ANTARA kasut larian terbaik yang boleh didapati di pasaran pada masa kini. Salomon XA Pro 3D Ultra dipertingkatkan dengan teknologi pelapik lembut yang memberikan perlindungan untuk larian dari trek hingga ke denai hutan.
Dibangunkan dengan casis 3D termaju yang memanfaatkan binaan rapat ke permukaan tanah, jaminan yang dijanjikan adalah kestabilan berlari pada tahap paling muktamad.
Sistem larian yang dibangunkan dengan berat 780 gram ini berupaya menstabilkan kaki di permukaan tidak rata tanpa pembaziran tenaga.
Model yang dipertingkatkan daripada model XA terdahulu ini juga memberikan penyerapan sentakan yang amat baik.
Bagi yang sentiasa dahagakan cabaran, kasut keluaran jenama peneraju dunia kembara yang dijual pada harga kira-kira RM580 ini mungkin hadiah terbaik bagi pasangan anda yang gemar berlari. Maklumat: www.outdoorgraphy.com

Vaude Campo Compact
MENGHABISKAN masa di kawasan perkelahan atau pergunungan memerlukan perlindungan yang selesa. Bagi penggemar aktiviti luar, khemah yang baik seharusnya mampu melindungi penghuni daripada panas, hujan, ribut dan ancaman haiwan.
Khemah Campo Compact keluaran Vaude menawarkan penginapan untuk dua orang dengan lantai seluas 140 sentimeter lebar dan 215 sm panjang.
Keistimewaan khemah satu pintu dengan bumbung kubah ini adalah reka cipta yang membolehkannya dipasang dan dikemas semula dalam masa yang singkat.
Dibangunkan dengan kepakaran teknologi pergunungan Jerman, Campo Compact seberat 3.5 kg ini dijual pada harga RM670 dan didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hijau dan putih pasir.
Maklumat: www.lafuma.com.my

No comments:

Post a Comment